Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman hadir ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki di Mahkamah Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan seksual di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Ia merupakan pertuduhan yang ke-11 dan 12 setakat ini.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rasyihah Ghazali pada prosiding hari ini.

Untuk pertuduhan terbaharu itu, PU Azman didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam sebuah bilik inap desa di Jalan Kebun, di sini, antara pukul 12 tengah malam dan 5.30 pagi pada September 2017.

Kesalahan tersebut terletak di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.

Namun peguam mewakili tertuduh, Fahmi Adilah kemudian bangkit memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan atas alasan pendapatan terjejas sejak September lepas kerana sudah tidak menerima jemputan ceramah.

Malah kata Fahmi, setakat ini anak guamnya telah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 untuk pertuduhan di Mahkamah Seremban, Klang dan Ampang.

“Mohon mahkamah pertimbang anak guam saya telah menggunakan semua simpanan untuk jelaskan jumlah jaminan itu selain dibantu ahli keluarga dan rakan-rakannya yang bersimpati,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan kawasan taman perumahannya pada setiap awal bulan selain dilarang mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan.

Sebutan kes telah ditetapkan pada 30 Januari tahun hadapan.

PU Azman berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang serta satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang semalam. – MalaysiaGazette