KUALA LUMPUR – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) melunaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah entiti SWM Kasih dengan menyantuni 50 orang kanak-kanak dari Pusat Kebajikan Kalvari Johor Bahru.
Kesemua kanak-kanak itu disantuni melalui penganjuran program SWM Kasih Christmas Celebration yang bertemakan Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, siri program SWM Kasih yang dianjurkan sempena sambutan perayaan Krismas dan musim cuti persekolahan tersebut bukan sahaja berkongsi kemeriahan perayaan tersebut.
Menurutnya, siri program itu tampil dengan pengisian aktiviti untuk membentuk kesedaran tentang penjagaan kesihatan dan alam sekitar seiring dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
“SWM Environment turut menyalurkan sumbangan SWM Kasih berbentuk barangan keperluan dapur bagi meringankan beban pengurusan pusat kebajikan tersebut.
“Sementara itu, pihak SWM Environment juga menceriakan kanak-kanak berkenaan melalui aktiviti luar asrama dengan menonton tayangan filem animasi di panggung wayang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Mohd Norlisam menyambut baik kerjasama yang julung kali dijalinkan dengan KPJ Johor Specialist Hospital menerusi Aktiviti Penjagaan Kesihatan sekali gus mencapai objektif program SWM Kasih tersebut.
Katanya, kerjasama dalam program CSR tersebut memberi nilai tambah dan melengkapi peranan kedua-dua organisasi kepada golongan yang memerlukan di negeri Johor.
“Menerusi program SWM Kasih tersebut, kakitangan KPJ Johor Specialist Hospital telah menyelaras Aktiviti Penjagaan Kesihatan dengan pengisian berbentuk taklimat kesedaran dan demonstrasi pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
“Penghuni pusat kebajikan berkenaan turut tidak ketinggalan memeriahkan program tersebut menerusi persembahan Karol Krismas dan disusuli dengan pengagihan saguhati Krismas daripada pihak SWM Environment dan KPJ Johor Specialist Hospital,” katanya. – MalaysiaGazette