KUALA LUMPUR – Kadar perbandaran di Malaysia meningkat kepada 75.1 peratus (24.4 juta) pada 2020 berbanding 70.9 peratus (19.5 juta) pada 2010.

Rancangan Fizikal Negara ke-4 mensasarkan kadar perbandaran negara mencapai 85 peratus pada 2040, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Enam buah negeri dan 31 daerah pentadbiran telah mencecah 85 peratus kadar perbandaran pada 2020.

Selangor mencatatkan penduduk bandar tertinggi iaitu 6.7 juta (2010: 4.9 juta) atau 27.5 peratus (2010: 25.1%) daripada penduduk bandar di Malaysia pada tahun 2020.

Manakala Sabah merekodkan penduduk luar bandar tertinggi iaitu 1.5 juta atau 19.1 peratus daripada penduduk luar bandar.

Nisbah jantina pada 2020 bandar ialah 109 (2010: 105), lebih rendah
berbanding luar bandar 112 (2010: 109).

Komposisi penduduk bandar merangkumi Bumiputera (62.6%), Cina (28.6%), India (8.1%), lain-lain (0.7%) dan bukan warganegara (7.6%).

Manakala peratusan penduduk luar bandar menunjukkan etnik Bumiputera (90.4%) adalah lebih dominan, diikuti oleh Cina (6.3%), India (2.4%), Lain-lain (0.9%) dan
Bukan Warganegara (10.3%).

Tempat kediaman pada tahun 2020 berjumlah 9.6 juta dengan 7.4 juta
(76.6%) di bandar dan 2.2 juta (23.3%) di luar bandar.

Jumlah isi rumah bandar pada 2020 adalah 6.3 juta (76.6%) dan luar bandar 1.9 juta (23.4%).

Purata saiz isi rumah persendirian di luar bandar ialah 4.2 orang bagi setiap isi rumah, yang mana lebih tinggi berbanding bandar 3.9 orang.

Penduduk luar bandar telah mencapai status menua setelah penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) adalah 7.3 peratus (2010: 6.2%) berbanding 6.6 peratus (2010: 4.6%) bagi penduduk di bandar. – MalaysiaGazette