HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mangsa terakhir yang telah dikenalpasti telah bermula di lokasi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada jam 8 pagi tadi.
Bermula 7.30 pagi lagi, semua anggota keselamatan SAR yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara mula berkumpul untuk taklimat ringkas.
Mereka kemudian bergerak ke lapangan untuk menyambung semula misi mencari seorang lagi mangsa terakhir iaitu mangsa yang ke-92 yang terjejas dalam bencana ini.
Selain itu, jentera pengaut (long harm excavator) serta Unit Dron PDRM meneruskan operasi SAR di lokasi runtuhan pada pagi ini dengan harapan menjumpai mangsa hilang kali ini.
Pemerhatian MalaysiaGazette di lokasi setakat jam 8.30 pagi tadi mendapati sebilangan ekor anjing pengesan K9 turut dibawa masuk ke kawasan tanah runtuh untuk meneruskan pencarian mangsa.
Malah keadaan cuaca pada pagi ini agak baik.
Selain itu, para petugas media juga mula berkumpul bagi melaporkan situasi dan perkembangan terkini operasi yang memasuki hari kelapan pencarian mangsa di lokasi kejadian
Semalam empat mayat iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak telah ditemui pada kedalaman tujuh meter dalam gulungan khemah oleh pasukan SAR.
Bagaimanapun, pencarian mangsa yang masih hilang terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat di sebelah petang. – MalaysiaGazette