Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Suffian Abdullah bercakap pada sidang media selepas menjumpai mayat terakhir dalam operasi mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini disahkan sebagai seorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 11 tahun dijumpai tertimbus dalam tanah sedalam 1.5 meter.

Menceritakan bagaimana mayat kanak-kanak itu ditemui selepas hampir dua hari pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bertungkus lumus beroperasi, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa ditemui empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (kawasan berbukit).

Kata Wan Md, ketika anggota SAR membuat kerja pengorekan secara manual petang tadi, seorang Penguasa Kanan Bomba menjumpai satu ‘sleeping bag’ (beg tidur) dan melihat ada cecair keluar dari beg tersebut.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas menjumpai mayat terakhir dalam operasi mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

“Apabila kita periksa, kita jumpa mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang kita syaki ia adalah mangsa yang dilaporkan masih hilang itu. Sleeping bag berkenaan ditemui di bawah timbunan tanah sedalam 1.5 meter.

“Untuk pengetahuan semua, keseluruhan sebanyak 20 mayat mangsa ditemui di Sektor A (Hill View), satu mayat di Sektor B (Farm View) dan 10 mayat ditemui di Sektor C (River Side),” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Turut menyertai sidang media itu yang diadakan sejurus selepas mayat kanak-kanak itu ditemui ialah Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden Suffian Abdullah.

MalaysiaGazette turut difahamkan mangsa kanak-kanak lelaki itu ialah Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong.

Mangsa yang terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki berjaya ditemui di kejadian tanah runtuh FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong memaklumkan terdapat seorang lagi yang belum ditemui daripada 26 mangsa yang terbabit dengan tragedi tanah runtuh itu, mangsa itu ialah Shao Qi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, U Chin Ong dilaporkan berkata, murid Tahun Lima itu adalah anak kepada pengusaha kantin di sekolah.

Ketika ini, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat serta pengecaman.

Dalam pada itu, kata Suffian, operasi SAR akan disambung esok untuk tujuan ‘ flushing’ (pembersihan) dan juga siasatan.

”Walaupun kita sudah jumpa semua mangsa namun pada masa sama operasi SAR akan diteruskan untuk proses ‘flushing’ dan siasatan lanjut.

“Kita akan bincangkan lebih lanjut dan keputusan mengenai operasi ini dan perkara ini mungkin akan diputuskan esok,” ujarnya.

Anggota penyelamat berpelukan selepas menjumpai mayat terakhir mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

Suffian juga telah melahirkan rasa penghargaan beliau kepada semua agensi yang terbabit sepanjang sembilan hari operasi.

Antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Saya sebagai Komander Operasi juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit,” katanya.

Mangsa terakhir yang ditemui petang tadi menjadikan jumlah keseluruhan 31 mayat mangsa berjaya ditemukan sejak tragedi berlaku awal pagi Jumaat minggu lalu. -MalaysiaGazette