Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPURc- Seorang pelajar kolej swasta berdepan tindakan undang-undang setelah membuat laporan polis palsu bahawa dirinya dirompak dan mengalami kerugian RM10,300 dipercayai bagi mengelak membayar hutang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataan berkata, remaja berumur 19 tahun itu membuat laporan polis pada 9.46 malam semalam, mendakwa dirinya dirompak tiga lelaki bersenjata di sekitar Petaling Jaya di sini.

Beliau berkata, polis kemudian menjalankan siasatan dan mendapati kejadian yang dilaporkan pelajar itu tidak berlaku.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan membelanjakan wang simpanan diberikan keluarganya dan alasan disamun juga digunakan untuk tidak membayar wang yang dipinjam daripada rakannya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamad Fakhrudin berkata pelajar terbabit tidak ditahan dan pihak polis dalam proses melengkapkan siasatan untuk membuat pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast