pendakwaan
Tommy Thomas

MEMANG sudah menjadi amalan dalam sistem perundangan di mana-mana negara yang demokratik bahawa kertas siasatan mesti dilengkapkan sebelum kes dibawa untuk pendakwaan ke mahkamah.

Walau bagaimanapun, perkembangan kes yang dihadapi bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam adalah amat mengejutkan.

Saksi ke-22 yang juga Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop mendedahkan, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dikatakan telah memberi arahan kepada SPRM untuk mendakwa Shahrir atas tuduhan pengubahan wang haram walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Agak menghairankan bagaimana perkara itu boleh berlaku. Pihak pendakwaan semasa era Tommy menerajui Jabatan Peguam Negara (AGC) seolah-olah telah mengetepikan keperluan melengkapkan kertas siasatan dalam kes tersebut.

Persoalan yang sama kini timbul dalam kes-kes berprofil tinggi lain yang telah dimulakan pendakwaan di mahkamah semasa zaman Tommy yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Lebih-lebih lagi dalam kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad yang dihadapi oleh Najib di mana saksi paling penting iaitu Low Taek Jho atau Jho Low masih bebas dan tidak pernah diambil keterangan serta diheret ke mahkamah.

Kita tidak pasti asas perundangan mana yang diguna pakai oleh Tommy ketika memberi lampu hijau kepada pihak pendakwaan untuk meneruskan pertuduhan terhadap Najib dalam kedua-dua kes tersebut.

Begitu juga dengan salah satu bahan bukti dalam kes 1MDB iaitu kapal persiaran mewah Equanimity milik Jho Low yang ‘dilelong’ oleh kerajaan walaupun prosiding terhadap Najib baru sahaja bermula di mahkamah.

Seseorang yang bukan pakar undang-undang pun pasti hairan bagaimana perbicaraan boleh diteruskan walaupun saksi paling penting tidak dapat dikesan dan salah satu bahan bukti telah bertukar tangan.

Bagaimana pula dengan kes-kes yang dimulakan ketika zaman Tommy dan Dr. Mahathir terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang lain seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim?

Tidak dapat dipastikan sama ada kertas siasatan terhadap mereka benar-benar lengkap sebelum tindakan pendakwaan diteruskan di mahkamah.

Menarik juga untuk difikirkan tentang keputusan AGC di bawah Tommy dahulu yang tidak meneruskan pendakwaan kes rasuah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung pembelian lot tanah dan banglo, selepas mendapati bukti dikemukakan di mahkamah adalah lemah.

Jika Guan Eng yang diketahui pernah mengambil Tommy sebagai peguamnya dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah ekoran bukti yang lemah, mengapa pula AGC meneruskan prosiding terhadap kes-kes yang kertas siasatan belum lengkap dan saksi utama gagal dikesan?

Apakah benar seperti yang didakwa pihak tertentu bahawa pendakwaan kes-kes berprofil tinggi terhadap pemimpin-pemimpin UMNO ketika zaman Tommy di AGC mungkin bermotif politik?

Mungkinkah dalam hal ini Tommy telah melakukan kecuaian dari segi undang-undang apabila ‘mengizinkan’ pendakwaan diteruskan terhadap Najib, Shahrir, Ahmad Zahid, Bung Moktar dan Abdul Azeez?

Persoalan-persoalan ini seharusnya diberi perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab, selaras dengan saranan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat buku Tommy yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Pasukan tersebut mencadangkan agar Jabatan Audit Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit serta siasatan terhadap AGC bagi mengesan sama ada terdapat salah laku oleh Tommy.

Sewajarnya, siasatan juga dilakukan terhadap Tommy bagi memastikan segala persoalan yang membelenggu dirinya selama ini dapat dirungkai dan rakyat dapat mengetahui perkara sebenar berhubung kes-kes berprofil tinggi yang dimulakan ketika beliau mengetuai AGC. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tutup mulut sahaja, bak kata seoarang menteri Move On, lupa kan yang sudah lepas, tidak perlu siasat lagi. Anda kena faham segala tindakan Tommy dipersetujui oleh parti PH. Sekarang UMNO sudah bersama PH. Yang sudah masuk penjara biarkan dia di dalam penjara, pikirkan yang belum dipenjarakan lagi untuk tidak dipenjarakan.

Comments are closed.