Dapur memasak Dapur Infaq Ummah terbakar dipercayai akibat kebocoran gas menyebabkan kawasan penyediaan makanan di situ terbakar dan musnah

KUANTAN – Api yang menyambar tong gas di dapur berpusat Dapur Infaq Ummah semalam mengakibatkan kawasan dapur yang menyediakan makanan bermasak kepada mangsa banjir dan golongan rentan di Indera Mahkota musnah.

Pengerusi Dapur Infaq Ummah, Badrul Kamili Kamaruddin berkata, kejadian pada Subuh semalam akibat kebocoran gas ketika empat petugas sukarelawan sedang memasak mengakibatkan kerugian mencecah RM60,000.

“Kebakaran berlaku dipercayai akibat kebocoran tong gas, dan api keluar menyambar tong gas,  tukang masak cepat-cepat hubungi pihak bomba untuk padamkan kebakaran.

“Alhamdulillah tiada insiden nyawa berlaku tetapi semuanya berlaku begitu pantas dan kesemua petugas berjaya lari keluar pintu belakang menyelamatkan diri.

“Meskipun banjir sudah reda di daerah ini, namun keperluan menampung makanan kepada golongan rentan diteruskan, tetapi kejadian ini Allah ingin menguji kami,” katanya.

Jelas Badrul ekoran kejadian itu, Dapur Infaq Ummah terpaksa menghentikan operasi dua minggu untuk proses pembaikian.

“Kita henti operasi sementara sebab banyak nak kena baiki termasuk pemasangan wayar semula, kemudian kipas ekzos meamsak kena tukar baharu, lantai mozek pecah dan beberapa peralatan lain memasak lain perlu diganti.

“Kejadian yang berlaku perlu dijadikan iktibar supaya semua pihak meningkatkan aspek keselamatan kerana malang tidak berbau,” katanya.

Dapur Infaq Ummah telah beroperasi bagi membekalkan makanan kepada mangsa banjir sejak tiga lalu termasuk memasak kepada kepada golongan rentan setiap hari ini di daerah ini.

Badrul turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan boleh dibuat melalui akaun Bank Islam06082010034591 atas nama Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan. – MalaysiaGazette