MELAKA – Seorang penjenayah tegar yang mempunyai 17 rekod tangkapan dan 23 pertuduhan diberkas polis selepas dipercayai melakukan pecah rumah melibatkan kerugian RM50,000 menggunakan sebuah kereta sewa, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 42 tahun itu yang digelar Petong ditangkap bersama sebuah kereta yang disewanya semata-mata untuk kegiatan jenayahnya itu kira-kira jam 12.30 pagi semalam di kawasan Limbongan.
Menurutnya, ia susulan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pecah rumah di Ayer Keroh, Jumaat lalu yang mengakibatkan pengadu kerugian kira-kira RM50,000.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah membuat tangkapan terhadap suspek lelaki berusia 42 tahun pada jam 12.30 pagi semalam di rumah keluarganya di Limbongan di sini.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu beg golf berisi 11 batang kayu golf, 178 keping wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM2,190 dan sehelai resit jualan barang kemas bernilai RM5,351,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Tambahnya, turut dirampas adalah sebuah kereta sewa jenis Perodua Myvi yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayahnya itu bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi suspek yang bergerak secara solo adalah dengan melakukan pecah rumah mewah di kawasan Ayer Keroh dengan memandu kereta yang disewa khas untuk jenayah itu.
“Semakan mendapati dalam tempoh 2020 hingga 2022, suspek yang tidak bekerja mempunyai rekod 17 kali tangkapan dan 23 pertuduhan di mahkamah termasuk ada di antaranya masih dalam proses perbicaraan,” katanya.
Tambahnya, suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette