SEREMBAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Datuk Seri Dr Awaludin Said terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 27, Jalan Seremban-Tampin, Rembau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata bagaimanapun Awaludin yang memandu kereta jenis Honda Accord bersama isterinya, Datin Seri Rozaida Noor Mohd Uzair yang berada di bahagian hadapan penumpang tidak mengalami kecederaan dalam kejadian pukul 2.45 petang itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Daihatsu satu tan dengan muatan batang besi dari arah Seremban menghala ke Tampin mengekori kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapannya dengan rapat, sehingga terlanggar kereta Honda BRV itu yang berhenti kerana kesesakan jalan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). – Bernama