ALOR GAJAH – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yakin tiada lagi mangsa korban tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor selepas mangsa terakhir yang ke-31 ditemukan petang semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pasca Bencana) Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, setakat ini agensi itu percaya tragedi yang berlaku jam 2.24 pagi 16 Disember lalu melibatkan 92 mangsa seperti laporan sebelum ini.
“Dari segi penilaian mengenai jumlah mangsa terlibat kita telah lakukan melalui beberapa cara antaranya pihak berkuasa telah dapatkan maklumat daripada operator tapak perkhemahan itu dan temubual dengan keluarga terlibat.
“Jadi kita yakin, jumlah yang diberikan itu, (92 mangsa) adalah jumlah yang terakhir disahkan yang mana semua mangsa sudah pun ditemui dan ianya dibuat secara menyeluruh untuk kepastian jumlah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga melibatkan lapan mangsa yang terkorban dalam tragedi itu di rumah mereka di Kampung Machap Baru, di sini, hari ini.
Sumbangan keseluruhan RM80,000 itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, operasi pembersihan dan siasatan di tapak perkhemahan itu akan diteruskan bergantung kepada penilaian komander pos kejadian (KPK).
“Cuma dari segi jumlah keanggotaan kita akan kurangkan berbanding awalnya anggota lebih ramai kerana keutamaan kita adalah untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu tinggi.
“Tapi kini selepas mangsa terakhir ditemukan petang semalam, jumlah ini kita akan kurangkan kerana tiada keperluan SAR kecuali untuk tugas siasatan yang akan diteruskan dalam jumlah yang kecil,” katanya.
Kejadian 2.24 pagi 16 Disember lalu mengorbankan 31 nyawa selepas berlaku dua siri runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm sehingga menimbuskan beberapa tapak khemah.
Ia keseluruhannya melibatkan 92 mangsa dengan sebahagianya berjumlah 61 orang ditemui selamat manakala baki 31 lagi nyawa yang terkorban terdiri daripada 18 dewasa,12 kanak-kanak dan seorang bayi berumur setahun ditemukan secara berperingkat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diadakan tanpa henti selama sembilan hari berakhir semalam.
Operasi itu melibatkan lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pasukan penyelamat turut dibantu oleh anjing Unit Pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A, B dan C meliputi kawasan tapak khemah, bukit dan sungai. – MalaysiaGazette.