Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhak untuk mengkritik kerajaan, terutama apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan yang tidak meyakinkan.

Bagaimanapun, jelas pengendali Facebook mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum mengkritik, mereka perlu tahu kadar inflasi mula mencanak naik ketika presiden parti mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih perdana menteri.

“Kadar inflasi mula mencanak naik ketika korang jadi kerajaan bawah Muhyiddin dan terus menaik pada tempoh (Datuk Seri) Ismail (Sabri Yaakob).

“Ketika itu ketika menteri ekonomi, MITI, kewangan dan pertanian adalah dari Bersatu juga,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kritikan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini tidak mempunyai idea untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor dilaporkan berkata, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan cadangan penyelesian terhadap masalah itu dalam tempoh dua minggu juga tidak ditunaikan.

Menurut Najib, kenaikan harga ayam dan telur serta kekurangan bekalan bermula pada awal tahun 2021 ketika Bersatu mentadbir dan berpanjangan sehingga hari ini.

“Jadi, kenapa korang tak laksanakan sekiranya korang ada idea-idea bernas dan berkesan sepanjang tempoh hampir dua tahun itu?” soal Najib.

Pada Sabtu lalu, Rafizi dalam sidang media berkata, kalau harga ayam sudah mahal,  orang ramai kena mengurangkan memakan ayam.

Menurut beliau, perkara itu yang melibatkan tabiat atau pun sikap pengguna itu sendiri perlu ditangani walau bagaimana cara sekali pun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast