Adly (kanan) ketika menziarahi waris mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Kampung Machap Baru, Alor Gajah, Melaka petang tadi.

ALOR GAJAH – Usaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat ketika ini menjadi keutamaan semua kementerian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, buktinya, kementerian itu juga tidak terkecuali untuk merangka strategi untuk meningkatkan kuasa ekonomi rakyat dalam mendepani krisis yang dijangka semakin mencabar tahun depan.

“Strategi itu memang ada sebab itu kalau dilihat bila bercakap mengenai kos sara hidup, MINDEF pun dipertanggungjawabkan oleh Yang Berhormat Menteri minggu lepas semasa mesyuarat pasca Kabinet.

“Di Kementerian Pertahanan pun, kita membicarakan bagaimana kita boleh meringankan beban kos sara hidup anggota dan veteran tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi waris mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali di Kampung Machap Baru hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, semua kementerian tidak terkecuali untuk merangka strategi menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Jadi memang kita dalam tempoh ini sedang mencari solusi untuk selesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua pihak terutama penjawat awam perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ini memandangkan krisis ekonomi pada tahun depan dijangka menjadi cabaran kepada negara sekaligus kementeriannya mempunyai peranan penting memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast