GOMBAK – Seorang daripada lima penunggang motosikal berkuasa tinggi cedera selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 26.5, Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kemalangan itu jam 1.15 tengahari tadi, sebuah motosikal jenis Honda terbakar.
Bertindak atas aduan, seramai enam anggota penyelamat bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah bergegas ke lokasi kemalangan.
“Siasatan lanjut mendapati kemalangan itu membabitkan lima penunggang motosikal berkuasa tinggi termasuk salah seorang daripadanya telah mengalami kecederaan melecur pada anggota badan akibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
Siasatan diteruskan untuk mengenalpasti punca kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati kesemua penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berumur lingkungan antara 35 hingga 58 tahun.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku semasa kesemua penunggang dari arah Genting Highlands itu hilang kawalan akibat terdapat sebuah kereta telah mengubah haluan masuk ke lorong penunggang motosikal sehingga menyebabkan mereka terbabas ke lorong kanan jalan.
“Empat lagi penunggang motosikal turut terbabas akibat daripada mengelak penunggang motosikal yang jatuh tersebut.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, kesemua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan yang lain. Kesemua mangsa telah dibawa oleh ambulan dan menerima rawatan di Zon Merah dan Kuning di Hospital Selayang.
Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 43(1) APJ 1987 dna menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Bin Mohd Nor di talian 0176645812 atau 03-61262222.- MalaysiaGazette