Reaksi sayu yang jelas terpancar di wajah masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar apabila mereka dihimpit dengan beberapa pencemaran sungai di Gua Musang, Kelantan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 DISEMBER 2022.

GUA MUSANG – “Maaf, kita tiada masa,”.

Itu maklum balas yang diterima Jimi Angah ketika dia memohon kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kota Bharu untuk mengambil sampel air Sungai Menintei, di sini, yang dikatakan tercemar.

Menurut Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok, dia kesal apabila permintaan tersebut ditolak ketika ratusan penduduk sekitar terjejas dengan pencemaran itu.

“Ketika itu mereka (pegawai JAS) tiba untuk buat tinjauan adakah kami bersetuju jika kerajaan negeri ingin buat ladang hutan tambahan seperti getah dan kelapa sawit di kampung ini. Kalau setuju, mereka mahu buat perjanjian hitam putih.

“Jadi kami cakap tak setuju. Kami terus minta mereka buat sampel air di Sungai Menintei tapi katanya tiada masa, masa kami terhad. Itu yang dibilang pegawai JAS,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Jimi Angah

Jimi berkata, dia boleh mengambil air itu untuk diserahkan kepada pegawai berkenaan namun bimbang jika dakwaannya itu dianggap palsu.

“Mereka sudah masuk kampung kami, redah jalan balak berjam-jam. Apa salahnya datang ke sungai itu untuk tengok sendiri dan ambil sampel, barulah dia percaya sungai itu berminyak dan bau hanyir, menyedihkan tindakan mereka terhadap kami,” ujarnya.

Katanya, Sungai Menintei menjadi salah satu sumber air utama buat penduduk sekitar Kampung Kuala Wok, namun ia dipercayai tercemar akibat pembalakan di hulu sungai berkenaan.

Kerakusan pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan gondolan bukit di sekitar kawasan Kampung Kuala Wuk.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar puncak kampung tersebut mengesahkan berlakunya kerakusan pembalakan yang menyebabkan hutan tersebut gondol tanpa sebatang pokok kayu balak ditinggalkan.

Keadaan struktur tanah yang berselut sepanjang perjalanan ke kawasan atas bukit itu turut berbau hanyir selain dapat dihidu bau bahan kimia yang kuat.

Menurut Jimi, pembalakan di puncak itu mendapat kelulusan kerajaan negeri selepas kehadiran pihak JAS tempoh hari mengesahkan ladang-ladang berkenaan mempunyai lesen serta permit untuk beroperasi.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kemarahan penduduk apabila aktiviti pembalakan serta pengusahaan tanaman ladang yang tidak terkawal boleh mengancam kesihatan akibat pencemaran sungai dan udara.

“Pencemaran ini jugalah yang mengakibatkan Sungai Wias tercemar. Kalau kita ajak mereka (pegawai JAS) datang Sungai Menintei tidak dilayan, macam mana pula dengan Sungai Wias yang memang lagi ketara air berwarna hitam,” ulas Jimi.

Air Sungai Menintei mengalir ke beberapa cabang sungai yang lain iaitu Sungai Rela, Sungai Kaloi, Sungai Wias dan Sungai Nenggiri.

Sementara itu, Jimi memberitahu bahawa laporan terakhir yang dibuat mengenai pencemaran di Sungai Wias pada tahun lepas juga masih tiada tindakan sehingga kini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette turut melaporkan Sungai Wias dikatakan tercemar dengan air berubah warna kehitaman akibat aktiviti perlombongan emas tetapi ia dinafikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. – MalaysiaGazette