KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru di sini yang menerima notis pengusiran baru-baru ini sepatutnya diberi tempoh tambahan enam bulan lagi untuk mencari tempat tinggal baharu.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani berkata, penduduk di salah satu penempatan di Kampung Bharu yang terlibat itu sepatutnya diberi masa yang cukup untuk mencari kediaman lain sebelum memberi laluan kepada pembinaan semua kawasan berkenaan.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana projek pembangunan semula pada masa akan datang.
“Kita perlu memastikan pemaju tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sewenang-wenangnya kepada pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula,” katanya seperti oleh dilaporkan FMT hari ini.
Menurut Johari, beliau juga akan melantik peguam bagi mewakili 90 peratus pemilik yang telah berpindah daripada kawasan itu agar dapat memantau supaya pemaju dapat memulakan projek berkenaan dengan segera.
Ia sekali gus memastikan unit baharu kediaman dikembalikan kepada pemilik yang sudah menunggu begitu lama.
Tambahnya, pemilik yang telah dibayar pampasan sepenuhnya oleh pemaju pula perlu ditawarkan unit baharu sekiranya mereka berminat untuk membeli kediaman itu apabila siap kelak.
Jelas beliau, pertemuan telah dibuat dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini untuk menempatkan baki penduduk yang belum mendapat rumah untuk berpindah supaya dapat ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai baki penduduk Kampung Sungai Baru yang menentang projek pembangunan semula selepas diarahkan berpindah menjelang pertengahan Januari ini.
Menurut Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, notis Borang K sudah dikeluarkan daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur supaya penduduk diberi 30 hari untuk mengosongkan kediaman masing-masing.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Projek Pembangunan Kg Sungai Baru, penduduk minta PM campur tangan