KUALA LUMPUR – Mahal dibeli, sukar dicari.

Itulah realiti bekalan telur ayam tempatan dalam pasaran terutama sekitar Lembah Klang.

Sumber protein itu yang juga antara makanan ruji rakyat Malaysia kini terhad, lebih-lebih lagi apabila pemborong dan peniaga terpaksa mengenakan kuota pembelian kepada pengguna.

Namun pada 16 Disember lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bersetuju membenarkan kemasukan telur ayam import dari India sebagai fasa percubaan.

Tindakan itu diambil bertujuan menampung sementara kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun ramai pengguna yang ditemui MalaysiaGazette meluahkan yang mereka mahu telur ayam tempatan bukan telur import dari India.

Menurut Yah Majid, 65, sebagai seorang suri rumah, beliau masih was-was untuk menghidang makanan untuk seisi keluarga dengan telur ayam import dari India itu.

Yah Majid. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2022.

“Masalah (kekurangan) telur ini sudah hampir dua minggu, nak dapat di pasar raya pun susah. Memang tiada stok, kalau ada pun telur putih, dari India.

“Okey je.. cuma bila telur tu sampai (ke dalam negara), ada lendir putih, bagi saya kurang eloklah (berbanding telur tempatan),” katanya ketika ditemui di sekitar Pasar Chow Kit hari ini.

Dalam pada itu, Yah turut mempersoalkan keberadaan telur ayam itu yang tiba-tiba hilang dari pasaran.

“Selama ini ada  telur dalam pasaran, ke mana telur itu pergi? Takkan tiba-tiba tiada kan? Sebelum ini tiada pula masalah telur tiada tapi sekarang tiba-tiba tiada.

“Di pasar raya pun tiada, sampai ambil satu hari terpaksa ke merata kedai nak mencari telur, sudah jadi satu kesusahan,” keluhnya.

Tambah Yah, jika membeli di Pasar Raya 99 Speedmart, hanya pada hari Rabu sahaja pengguna berpeluang untuk mendapatkan sepapan telur tempatan daripada 50 papan yang dijual.

Bagi Salehuddin Razali, 63, beliau pula was-was kerana tidak biasa dengan telur import dari India yang berwarna putih.

Salehuddin Razali Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2022.

“Kalau telur ayam import dari India ini warnanya putih, kita tak biasa, saya was-was. Itu masalah dia.

“Kita tak tahu macam mana proses di sana (India). Masuk sini (ke Malaysia) dia kata okey. Sebagai pengguna, saya memang tak berapa berminat untuk guna (telur import dari India),” katanya.

Tambah Salehuddin, harga telur berkenaan juga lebih mahal, sebiji telur 50 hingga ke 60 sen, seakan-akan membeli telur Omega.

“Sungguh menyeksakan, kalau ada duit tapi barang tiada pun tak guna, jenuh saya mencari di merata tempat. Kadang-kadang saya hairan ada orang boleh tempah sampai 10 papan, kalau orang kebanyakan macam kita dia (peniaga) kata tiadalah, habislah.

“Jadi satu masalah kepada kita sebagai pengguna, merisaukanlah, ini dah nak bulan puasa,” katanya.

Salah seorang peniaga, Zaidah Mohd Kasim, 56, pula berkata, masalah keberadaan stok telur ini sudah berlarutan dan masih tiada jalan penyelesaian.

Zaidah Mohd Kasim. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2022.

“Tak pernah cuba telur import dari India, saya masih tetap dengan telur ayam tempatan. Kalau mahal pun kita akan usahakan juga, tapi sekarang ini tiada.

“Merata dah cari (telur ayam), kalau jadi regular customer di kedai (borong) itu, dapat lah dua papan. Kita sebagai peniaga sehari gunakan lima papan tapi bila beli dapat dua papan sahaja,” katanya.

Sebagai peniaga nasi lemak, Zaidah mahu tidak mahu terpaksa mengenakan harga jualan lebih mahal kepada pelanggan hanya kerana harga telur ayam semakin meningkat.

Namun bagi Mohamed Nohar Nohahji, 36, beliau tidak mempunyai masalah untuk menggunakan telur import dari India.

Mohamed Nohar Nohahji

“Jika itu solusi kerajaan untuk rakyat Malaysia, kita supportlah. Saya tetap akan cuba, jika harga lebih mahal pun kita cuba dulu lah, kalau tak cuba tak tahukan?

“Memang susah dengan dengan kos sara hidup yang agak tinggi, dengan telur pun tiada, kita yang golongan bawahan ni agak terkesan. Beli dua papan, harga masa telur banyak tak sampai RM11, sekarang sudah RM12.30 bagi gred C.

“Kalau dah terpaksa, saya beli telur Omega untuk anak-anak nak makan. Kalau nak makan ayam pun harga mahal juga tapi terpaksalah untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Hari ini, kerajaan mengumumkan pihaknya komited untuk mengatasi isu bekalan telur dengan tindakan jangka pendek  sehingga bekalan daripada pengeluar tempatan kembali pulih, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Apa jua faktor yang menyebabkan bekalan telur terganggu sejak September lalu akan diselesaikan dengan rasa tanggungjawab walaupun kita tahu ekosistem pengeluaran telur akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sehingga satu tahun untuk diatasi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kononnya barang makanan mahal, tetapi masih ramai makan-minum makanan masakan restoran yang lebih mahal.

Comments are closed.