AirAsia
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam (dua kiri) menunjukkan harga tiket pada Majlis Pengumuman Kadar Tambang Tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat AirAsia RedQ, Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2022.

SEPANG – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia mengumumkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap sempena sambutan Tahun Baharu Cina antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.

Kadar tiket dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri hanya RM199 sehala, dan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada RM249 sehala.

Menurut AirAsia, semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai hari ini.

Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan menggalakkan semua syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan namun pada masa yang sama beliau memahami bahawa langkah itu bergantung kepada keupayaan secara individu.

“Tidak semua syarikat penerbangan mempunyai lebih daripada 100 pesawat, tetapi saya harap semua syarikat penerbangan membantu kerajaan dari segi menambah kekerapan.

“Pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang akan mempermudahkan untuk semua syarikat penerbangan yang ingin berbuat demikian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis pengumuman inisiatif terbaharu AirAsia itu di RedQ di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dan memberi sokongan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang ingin melaksanakan kadar tambang tetap.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, syarikatnya melakukan yang terbaik untuk menghubungkan para penumpang pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi.

Menurut beliau, beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, AirAsia tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan pandemik.

“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan ke dan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak tersedia untuk tempahan bagi tempoh perayaan akan datang,” jelasnya.

Para penumpang yang melakukan perjalanan semasa tempoh Tahun Baharu Cina akan datang dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang dua jam lebih awal daripada waktu perlepasan yang dijadualkan (untuk perjalanan domestik) untuk mengelakkan kesesakan.

Mereka juga digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan airasia Super App, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh perlepasan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast