Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penjawat awam bagi Gred 56 ke bawah menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 sebanyak RM700 pada 17 Januari depan.

Ia dimaklumkan melalui satu surat pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed semalam.

Menurut surat edaran itu, pesara kerajaan yang sedang menerima pencen, penerima pencen terbitan, pesara perkhidmatan awam skim KWSP dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima bantuan sebanyak RM350 yang dibayar pada hari sama.

Menurutnya, bayaran BKK 2023 layak diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 17 Januari 2023.

“Selain itu, ia juga layak dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana termasuk pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS).

“Ia juga termasuk pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji dan pegawai yang bercuti tanpa gaji,” katanya.

Bayaran juga layak diberikan kepada pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.

BKK 2023 turut layak dibayar kepada pegawai lantikan MySTEP yang berkhidmat sekurang-kurangnya enam bulan pada tahun ini dan masih berkhidmat sebagai MySTEP pada 17 Januari 2023.

Turut layak adalah guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.

“Bayaran turut dibuat kepada pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran dan hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman,” kata pekeliling yang sama.

Pegawai perkhidmatan awam yang meninggal dunia pada 17 Januari 2023 juga layak menerima BKK 2023.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast