SEPANG – Cuaca buruk dikatakan menjadi punca kelewatan penerbangan Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dimaklumkan bahawa pesawat terbabit terpaksa dilencongkan ke Langkawi.
Menurut beliau, sebaik sahaja mendarat di sana, juruterbang-juruterbang telah melepasi jam penerbangan mereka dan kru baharu perlu dihantar ke Langkawi.
“Maka ia menyebabkan kelewatan selama beberapa jam. Semua ini bukan alasan tetapi sebahagian kelewatan tidak dapat dielakkan.
“Namun dari segi pengendalian penumpang dan komunikasi di lapangan terbang, ia boleh ditambah baik pada masa hadapan termasuk dari segi penginapan dan makanan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat AirAsia RedQ di sini, hari ini.
Sebelum itu, Anthony merasmikan majlis pengumuman penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Semalam, Anthony menggesa Batik Air memohon maaf dan memikul tanggungjawab terhadap insiden itu sebagai jawapan kepada Twitter seorang pengguna bernama Mohd Firdaus Jailan (@firdausjailan) yang berkata, beliau terkandas di KLIA selama lebih tujuh jam disebabkan kelewatan.
Tweet video Firdaus meraih lebih sejuta perhatian apabila ia memaparkan penumpang yang terkandas tidur di bangku berhampiran dengan pintu pelepasan.
Pada masa sama, beliau berharap agar kelewatan penerbangan dapat diminimumkan dan para penumpang yang tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh Batik Air boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
“Kita ada sistem dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab, jadi Mavcom adalah saluran yang betul untuk mereka kemuka aduan.
“Pejabat Menteri bukan biro aduan, saya tidak dapat menangani setiap aduan,” jelasnya.
Sementara itu, Anthony berkata, pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menetapkan harga siling tiket penerbangan kerana syarikat penerbangan beroperasi mengikut struktur harga dinamik.
Beliau memberitahu, langkah itu boleh memberi kesan negatif kepada penumpang contohnya dari segi pengurangan kapasiti sehingga mengakibatkan kekerapan penerbangan berkurangan.
“Dari segi harga, pada musim perayaan memang naik tetapi pada waktu biasa masih berpatutan. Sebab itu kita galakkan syarikat penerbangan tambah kekerapan penerbangan supaya harga tiket boleh jadi lebih berpatutan,” katanya. – MalaysiaGazette