Michael Chong (tengah) menunjukkan gambar-gambar sebagai bukti ugutan yang diterima oleh-mangsa pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 23 tahun dan suaminya hidup dalam ketakutan selepas menjadi sasaran sindiket peras ugut.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Loo berkata, seorang lelaki telah mendapatkan khidmat perundingan pengiklanan melalui Facebook suaminya dan mereka berkomunikasi berkenaan urusan itu melalui Whatsapp pada 20 November lalu.

“Lelaki itu menggunakan nombor Singapura dan memperkenalkan dirinya sebagai Ben. Dia kemudian membayar sejumlah RM2,100 sebagai bayaran perkhidmatan dalam membantunya membuat iklan di Facebook.

“Bagaimanapun, pada bulan yang sama, Ben mendakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan dan menuntut pampasan sebanyak RM20,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.

Loo berkata, Ben mula menghantar gambar kenderaan yang terbakar kepadanya dan suami sebagai tujuan mengancam akan melakukan perkara sama kepada mereka jika mereka tidak memberikan wang yang diminta.

“Dia juga menghantar mesej gambar dan butiran peribadi saya sambil mengugut untuk membakar rumah saya jika jumlah wang yang diminta tidak dibayar.

“Pada 24 Disember lalu, kenderaan bapa saya dibakar dan Ben turut menghantar video perbuatan itu.

“Saya sangat takut lelaki ini akan melakukan sesuatu yang lebih teruk,” katanya yang turut memaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat berhubung ugutan itu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, ia adalah satu taktik baharu peras ugut untuk menuntut wang daripada mangsa.

“Sindiket ini akan cuba mengambil perkhidmatan daripada perniagaan seseorang dan mendakwa mereka tidak berpuas hati sebagai asas untuk menuntut pampasan.

“Mereka kemudiannya akan menggunakan kekerasan bagi menakut-nakutkan mangsa. Berhati-hati apabila berhadapan dengan orang ramai terutama dalam talian (panggilan telefon),” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pendandan rambut berusia 32 tahun turut menjadi sasaran peras ugut selepas dia membuat pinjaman wang secara dalam talian.

Mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Phang berkata, dia pada mulanya mahu meminjam RM5,000 pada 11 Oktober lalu tetapi menerima hanya RM3,000 sahaja.

“Saya akhirnya membayar RM7,000 dalam tempoh 10 hari. Saya fikir ia sudah berakhir tetapi pemberi pinjaman wang ini menuntut RM50,000 kerana dia mendakwa ia adalah bayaran terkumpul kerana lewat membuat pembayaran,” katanya yang turut pada sidang media sama.

Selepas tidak mampu membayar jumlah itu, kediaman dan tempat kerjanya disimbah cat merah yang disyaki dilakukan oleh suspek, tambahnya.

“Lelaki yang sama turut mengugut untuk membakar rumah saya jika saya masih tidak mampu membayar wang RM50,000. Nampaknya, mereka mengenakan bayaran untuk setiap pembayaran balik pinjaman yang lewat,” katanya.

Pemberi pinjaman itu juga memberitahu Phang tentang apa yang pernah mereka lakukan termasuk membakar kereta dan rumah orang ekoran kegagalan membuat bayaran sebagaimana diminta.

“Saya sudah membuat dua laporan polis. Apabila saya membuat laporan, polis memaklumkan ada mangsa lain juga yang menerima nasib sama seperti saya,” ujarnya.

Dalam pada itu Chong berkata, beliau mengesyaki ia adalah sindiket peras ugut yang sama beroperasi di bawah nama pemberi pinjaman wang.

“Mereka yang menipu ini juga mendakwa mempunyai hubungan dengan polis tetapi saya sangat meraguinya. Saya pasti polis akan berusaha sedaya upaya untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab memeras ugut orang seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, Chong menasihati orang ramai supaya hanya mengambil pinjaman daripada institusi kewangan atau peminjam wang yang sah sahaja. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast