KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pernah berlaku beberapa kali dalam sejarah parti itu di mana dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan.
Menurut beliau, situasi itu berlaku ketika UMNO berada di bawah kepimpinan bekas presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun dan diikuti era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Zaman Datuk Seri Najib Razak, ada cadangan tapi tak jadi.
“Sebagai seorang demokrat, saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukan,” katanya dalam program wawancara khas ‘Jawab, Saya Tanya!’ bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV malam tadi.
Pada 11 Disember lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mencadangkan supaya jawatan Presiden UMNO dan timbalannya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Beliau juga mahu supaya usul tersebut dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 bulan depan.
Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin UMNO seperti Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun yang mahu Ahmad Zahid dikekalkan sebagai presiden manakala veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan, pertandingan dua jawatan tertinggi dalam parti tidak sepatutnya disekat.
UMNO dijadualkan mengadakan pemilihan parti bagi memilih barisan kepimpinan baharu di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam masa enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahmad Zahid turut membayangkan pemilihan UMNO mungkin diadakan lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga cukup tempoh enam bulan.
“Ia mungkin diadakan awal. Kita kena ingat bahawa 22, 23 Mac masuk Ramadan lepas itu Syawal, lepas itu bulan haji,” jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyerahkan kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 untuk menentukan bentuk demokrasi yang mahu diterjemahkan oleh parti. – MalaysiaGazette