Tindakan dibuat dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan pejabat kesihatan daerah Kuala Selangor membabitkan 77 premis makanan. Foto: Facebook MPKS

KUALA LUMPUR – Sebanyak 162 kompaun dan 18 notis dikeluarkan pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) kepada pengusaha premis makanan atas pelbagai kesalahan sejak dari Mei hingga Oktober lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan, tindakan dibuat dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan pejabat kesihatan daerah Kuala Selangor membabitkan 77 premis makanan.

“Pemeriksaan premis makanan ini untuk memastikan tahap kebersihan premis berada pada tahap baik dan keselamatan makanan terjamin.

“Ia juga bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya di Facebook.

Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKS) 2007.

Selain itu, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007 dan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sepanjang tempoh sama, PBT itu memaklumkan lapan premis diarah tutup 14 hari berikutan tidak mencapai tahap kebersihan memuaskan selain penemuan najis tikus dan lipas.

Jelasnya tindakan terhadap premis tersebut dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan perlu melaksanakan pembersihan segera secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Pemeriksaan seperti ini akan diperluaskan bagi mengekalkan tahap kebersihan yang baik terhadap pengusaha premis makanan,”katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast