KEPALA BATAS – Taman tema air Bertam Resort & Water Park di sini diarah tutup sementara bermula hari ini susulan beroperasi tanpa lesen lesen sah daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
MBSP dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan pertama ke atas taman tema itu dibuat pada 16 Disember lalu sebelum mendapati pemilik tidak mempunyai lesen sekali gus melanggar syarat Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Jelasnya, satu notis kompaun turut dikeluarkan ketika pemeriksaan selain meminta pemilik menghentikan perniagaan dalam tempoh tujuh hari.
“Susulan itu, kita buat dua lagi pemantauan pada 22 Disember lalu dan semalam sebelum mendapati pemilik gagal mematuhi notis yang dikeluarkan pada pemeriksaan pertama.
“Kemuncaknya hari ini, kita dapati mereka (pemilik taman tema) masih beroperasi membuatkan kita mengambil tindakan penutupan serta merta pada pukul 9.40 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video pengunjung yang tidak puas hati atas tindakan MBSP menutup serta merta taman tema itu susulan mereka sudah membeli tiket.
Rata-rata turut mendakwa tertipu dengan pihak pengurusan taman tema berkenaan susulan beroperasi tanpa lesen sekali gus tidak peduli mengenai keselamatan pengunjung.
Taman tema yang bernilai kira-kira RM90 juta itu mulai beroperasi pertengahan Disember atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette