Mutalib Uthman

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Perak Mutalib Uthman digantung keahlian selama tiga tahun dan digugurkan daripada jawatannya berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Agung MUDA Amir Abd Hadi berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti susulan laporan yang diterima Lembaga Disiplin parti itu membabitkan tindakan Mutalib yang melanggar arahan parti.

“Pada 30 Okt 2022 Mutalib didapati menaikkan poster di akaun media sosial peribadinya dan MUDA Perak untuk mengumumkan niat untuk bertanding di Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan saluran dan poster rasmi parti, tanpa persetujuan parti.

Tindakan ini didapati melanggar ketetapan MUDA dan melanggar Fasal 5: Tanggungjawab Ahli dalam perlembagaan MUDA khususnya Fasal 5.1 (d) patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti dan 5.1 (f) memelihara nama baik dan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Amir berkata JKEP turut menerima surat peletakan jawatan Pengerusi MUDA Pahang Malani Manimaharan dan Pengerusi MUDA Pulau Pinang Jazz Tan atas sebab isu komitmen dan kesihatan.

“Justeru itu terdapat keperluan segera melantik pemangku bagi jawatan berkenaan dan pemangku Pengerusi MUDA Perak adalah Devadas Silvaraju manakala pemangku Pengerusi MUDA Pulau Pinang Tineshvar Boontinathan sementara di Pahang akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast