KUALA LUMPUR – Modus operandi menjadikan sebuah rumah teres di Setiawangsa di sini sebagai stor penyimpanan bekalan dadah jenis syabu seberat 320 kilogram untuk pasaran sekitar Lembah Klang terbongkar.
Dua suspek warga tempatan yang dipercayai penjaga stor yang menempatkan bekalan dadah yang diperoleh dari sebuah negeri di Pantai Timur itu telah ditahan polis.
Siasatan mendapati mereka menyewa rumah teres berkenaan dengan kadar bayaran lebih RM1,000 sebulan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pada 24 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Kuala Lumpur telah melancarkan Op Lambkin di sekitar ibu negara.
Serbuan dibuat atas maklumat risikan yang diterima berkaitan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sejak September lalu.
“Hasil serbuan ke atas sebuah rumah teres di kawasan Setiawangsa berjaya membongkar modus operandi sindiket itu yang menyewa rumah itu sebagai setor simpanan bekalan dadah.
“Polis juga berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang memainkan peranan sebagai penjaga stor dadah di dalam rumah itu kepada sindiket pengedaran tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Yahaya, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui 13 kampit guni yang mengandungi 310 peket bungkusan teh cina berwarna kuning keemasan dan hijau yang disyaki dadah jenis syabu seberat 320 kilogram dianggarkan bernilai RM11.5 juta di ruang tamu rumah teres itu.
Katanya, ia merupakan rampasan terbesar pihaknya bagi tahun ini manakala siasatan lanjut juga mendapati dua suspek yang ditahan itu adalah diupah oleh sindiket.
Kedua-dua suspek itu adalah warga tempatan yang mana suspek pertama berusia 29 tahun bekerja sebagai jurual kereta memiliki satu rekod lampau bersangkut kes dadah dan dua kes curi manakala suspek kedua, seorang jurujual dalam talian berusia 34 tahun memiliki satu rekod lampau bersangkut kes dadah.
“Kedua-dua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasil keputusannya menunjukkan jurujual kereta itu positif dadah methaphetamine.
“Siasatan lanjut polis mendapati mereka memperolehi bekalan dadah itu daripada Pantai Timur disyaki dibawa masuk dari negara jiran di utara Semenanjung dan sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM20,800 yang disyaki digunakan untuk urusan pengedaran dadah berjaya disita.
“Bekalan dadah itu disyaki untuk pengedaran pasaran sekitar Lembah Klang dan juga tidak menolak kemungkinan untuk pengedaran di luar Lembah Klang manakala siasatan diteruskan untuk menjejaki dalang utama yang memainkan peranan di sebalik pengedaran tersebut,” katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya dan kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan lanjut. -MalaysiaGazette