Tsai Ing-wen

TAIPEI – Taiwan akan melanjutkan tempoh khidmat ketenteraan mandatori untuk semua lelaki di negara itu yang layak daripada empat bulan kepada setahun.

Ia ekoran ancaman yang semakin meningkat dari China, kata Presiden Tsai Ing-wen pada sidang akhbar di Taipei.

Menurut Tsai Ing-wen, latihan ketenteraan mandatori selama empat bulan tidak lagi sesuai dengan keperluan pertahanan Taiwan.

“Walaupun melanjutkan tempoh perkhidmatan adalah keputusan yang sukar namun ia perlu untuk melindungi cara hidup demokratik.

“Tiada siapa yang mahu perang. Kerajaan Taiwan, rakyatnya mahu pun masyarakat antarabangsa tidak menginginkannya tetapi keamanan tidak jatuh dari langit.

“Kita perlu bersiap sedia secara aktif untuk berperang bagi mengelak perang dan kita perlu berperang untuk menghentikan perang,” katanya.

Jelas Tsai Ing-wen, tempoh kerahan tenaga baharu yang akan dilaksanakan pada awal 2024 akan dikenakan kepada lelaki yang lahir selepas 2005.

Langkah itu menandakan pusingan-U bagi Taiwan, sebuah demokrasi pemerintahan sendiri yang mempunyai 23.5 juta penduduk telah memendekkan kerahan mandatori daripada satu tahun kepada empat bulan pada 2018.

Ia berlaku ketika China semakin menegaskan tuntutan wilayahnya ke atas Taiwan yang tidak pernah dikawal oleh Parti Komunis China di Beijing termasuk menghantar 47 pesawat merentasi garis median Selat Taiwan semalam.

Perkara itu merupakan pencerobohan terbesarnya ke zon pertahanan udara pulau itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, semua askar kerahan di bawah sistem baharu itu dikehendaki menjalani latihan asas ketenteraan selama lapan minggu sebelum latihan di darat selama 44 minggu.

Gaji bulanan askar juga akan dinaikkan daripada kira-kira $195 kepada lebih $650 sebulan, kata Tsai.

“Mengekalkan keamanan bergantung kepada pertahanan negara, dan pertahanan negara bergantung kepada setiap rakyat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih mengalu-alukan pengumuman Taiwan dalam satu kenyataan kepada CNN kerana ia menekankan komitmen Taiwan untuk mempertahankan diri dan mengukuhkan pencegahan.

Jurucakap itu berkata Amerika Syarikat (AS) akan terus membantu Taiwan dalam mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang mencukupi sejajar dengan komitmen di bawah Akta Hubungan Taiwan dan dasar satu China.

“AS akan terus menyokong penyelesaian aman isu rentas Selat, dan menentang sebarang perubahan unilateral dalam status quo oleh mana-mana pihak,” tambah jurucakap itu. – Agensi