BATU MAUNG – Unresolved Maritime Boundary merupakan lokasi utama pencerobohan nelayan asing di Pulau Pinang.

Difahamkan, kawasan itu terletak 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi, kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

Perkara itu didedahkan Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berdasarkan tangkapan nelayan asing oleh pihaknya sejak Januari lalu.

Menurut beliau, kawasan itu diceroboh susulan hasil laut banyak selain nelayan tempatan tidak memasuki perairan itu bagi aktiviti penangkapan ikan.

Abd Razak.

“Sepanjang tahun ini hingga November lalu, sebanyak 79 tangkapan dilakukan membabitkan kesalahan pelbagai akta termasuk 10 kes pengusiran membabitkan bot nelayan asing Indonesia.

“Dalam tempoh sama juga, sebanyak 4,379 pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan dan hasil siasatan mendapati rata-rata yang ditahan itu dipercayai sengaja mencerobohi kawasan perairan negara kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelupusan Bot Nelayan Asing dan Tempatan serta bubu naga di Jeti Limbongan Batu Maung hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak lima bot nelayan asing Indonesia, satu bot fiber nelayan tempatan, 492 set bubu naga dan dua pukat lohong hasil tangkapan pada 2021 yang bernilai RM192,000 dilupuskan.

Kata Abd Razak, kesemua peralatan itu dilupuskan selepas pihaknya mendapat keputusan lucut hak dari mahkamah.

“Kes pelupusan lucut hak itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 seperti tiada permit menangkap ikan di perairan Malaysia terutama bot nelayan asing Indonesia, penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan dan bot tempatan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Sebanyak 492 bubu naga dilupuskan pada majlis itu.

“Pelupusan itu juga merupakan amaran jelas oleh APMM yang tegas dalam melaksana undang-undang bagi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Pada masa ini masih ada lagi beberapa barang eksibit yang menunggu proses lucut hak dari mahkamah termasuk dadah jenis syabu dengan anggaran lebih RM100 juta dan mengambil sedikit masa berikutan proses pendakwaan masih berlangsung,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Abd Razak memaklumkan pihaknya menjalankan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar negara dalam menangani jenayah rentas sempadan. – MalaysiaGazette