KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersedia memberi peluang kepada kumpulan yang menjadi pengkhianat dalam parti sekiranya mereka melakukan taubat nasuha.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau mempunyai strategi tersendiri sekiranya mereka mengulangi pengkhianatan terhadap parti.
“Saya tidaklah sezalim itu asalkan mereka bertaubat nasuha cepat untuk kembali, itulah yang sebaik-baiknya tetapi kalau taubat nasuha di depan, di belakang buat lain… saya tidak perlu berkongsi strategi, kalau saya kongsi ia tidak menjadi strategi lagi,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dalam program wawancara khas ‘Jawab, Saya Tanya!’ bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV malam tadi.
Sebelum itu, moderator program tersebut, Datuk Rafi Awang Kecik membangkitkan tentang desakan akar umbi parti yang mahu sekumpulan pemimpin UMNO yang dilabel sebagai pengkhianat disingkir dari parti.
Kumpulan tersebut didakwa membelakangkan pucuk pimpinan UMNO apabila berunding dengan Perikatan Nasional (PN) secara individu bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut memaafkan segelintir pemimpin parti-parti komponen BN yang mendesaknya meletak jawatan selepas PRU-15.
“Situasi yang menekan mereka ketika itu disimbah oleh limbah-limbah dari dalaman,” kiasnya.
Berhubung kemarahan orang Melayu terhadap UMNO yang kini ‘bersahabat’ dengan DAP, beliau berkata, yang patut dimarah ialah bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ini kerana Dr. Mahathir yang bertanggungjawab membawa DAP masuk dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14, katanya.
“Dia yang mengindoktrinasi kami selama 22 tahun, beri gambaran yang sangat negatif terhadap parti itu (DAP) tetapi akhirnya mendakap parti itu dan ini kita lihat bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdakapan dengan parti itu, Pas pun pernah berdakap,” katanya. – MalaysiaGazette