KUALA LUMPUR – Perubahan fungsi automasi dalam tugasan antara punca kepada pemberhentian amalan menggaji pegawai kontrak di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Lembaga itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, amalan itu dilaksanakan sejak 2018 bagi membolehkan kebanyakan tugasan dibuat secara digital bagi meningkatkan kecekapan mentadbir sistem percukaian negara.
“Selaras perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di LHDN, proses kerja di agensi ini melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus merubah tatacara kerja di LHDN.
“Selari dengan usaha digitalisasi ini, LHDN memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut membabitkan penstrukturan sumber manusia dan pelaksanaan termasuk mengkaji semula keperluan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di LHDN,” katanya di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan itu akan dibuat sepenuhnya mulai 1 Januari depan.
Untuk rekod, LHDN menamatkan tugas kontrak 42 pegawai dan 998 orang pegawai kontrak harian.
Dalam kenyataan sama, LHDN berkata, penamatan kontrak itu telah dimaklumkan dan diperjelaskan lebih awal kepada semua kumpulan yang terlibat.
LHDN berkata, secara dasarnya penggajian pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik iaitu berasaskan projek.
“LHDN telah mengambil inisiatif membantu pegawai yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat-syarikat ejen cukai untuk memperkenalkan para pegawai kontrak ini dan membuat pengesyoran bagi tujuan pengambilan kepada pihak tersebut.
“Selain itu juga, LHDN terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh PERKESO kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di LHDN,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, LHDN menjelaskan bahawa seramai 59 pegawai kontrak berjaya mendapatkan pekerjaan lain menerusi kerjasama dengan Perkeso.
Mengenai aspek pengurusan kerjaya secara dalaman pula, LHDN berkata, penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi turut diberikan kepada pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.
Tambahnya, pelantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan.
Ini kerana langkah itu bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon dari luar LHDN.
Sehingga kini, seramai 653 orang pegawai kontrak dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai 2017 hingga 2022. – MalaysiaGazette