KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan kepada kerajaan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dihidupkan kembali dengan pindaan penambahbaikan yang dianggap wajar.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, sekiranya ISA dihidupkan semula, terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Katanya, berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, beliau mahu SOSMA tidak digunakan sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan berkepentingan diadakan.
Pemimpin DAP itu dilaporkan turut menuntut supaya tahanan sedia ada dibebaskan dengan serta merta sementara menunggu sesi itu.
“SOSMA adalah undang-undang peruntukan bagi langkah-langkah khas dengan tujuan mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta untuk perkara yang berkaitan.
“Akta ini diwujudkan bagi menggantikan Akta ISA yang dimansuhkan bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September 2011,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, tuntutan pemimpin DAP itu sebagai tidak sensitif dengan keselamatan negara.
Menurut Shahrulufti, keistimewaan akta itu bertindih dengan beberapa peruntukan berkanun lain yang direka untuk memberi polis kuasa penyiasatan yang sangat luas bagi memaksa suspek dan saksi memberikan banyak maklumat.
“Polis mempertaruhkan nyawa mereka untuk kita setiap hari. Mereka menjalankan tugas yang sukar semata-mata untuk mengekalkan keselamatan awam dan negara.
“Oleh itu, jika SOSMA dipinda, Putra mencadangkan supaya dikembalikan semula Akta ISA dengan pindaan penambahbaikan yang dikira wajar.
“Cegahlah sebelum terlambat dan inilah semangat Akta ISA. Sebab itu Singapura masih mengekalkan akta ini sehingga sekarang dan tidak mungkin akan dimansuhkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin tidak perlu mempolitikkan apa sahaja akta yang diluluskan untuk pasukan keselamatan.
Katanya, cakaplah apa saja, demokrasi, hak asasi mahupun keadilan, semuanya mengatasi nyawa rakyat yang tidak berdosa jika berlaku huru hara seperti peristiwa 13 Mei 1969.
Sekarang, jelas beliau, dengan kedatangan dunia siber dan internet dengan Malaysia pula negara berbilang kaum serta agama, terbukti sudah ada ancaman keselamatan seperti api dalam sekam atau telur di hujung tanduk. – MalaysiaGazette