Home Nasional IWK Eco Park @ Pantai Dalam – Khazanah Rimba di kota...

IWK Eco Park @ Pantai Dalam – Khazanah Rimba di kota metropolitan

KUALA LUMPUR – Bagi penduduk kawasan Pantai Dalam, IWK Eco Park mungkin bukanlah asing kepada mereka.

Di sini telah menjadi destinasi mereka untuk melarikan diri daripada kesibukan kota metropolitan dengan menjalankan pelbagai aktiviti riadah sambil menikmati kehijauan di tengah-tengah ‘hutan bandar’.

IWK Eco Park @ Pantai Dalam, adalah sebuah taman rekreasi yang dibangunkan di atas Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (RSTP2), yang merupakan loji terbesar dan termoden di rantau ini.

Ia adalah sebuah loji pertama yang beroperasi di bawah tanah dengan keupayaan rawatan air kumbahan untuk 1.43 juta penduduk setara.

Permukaan atasnya terletaknya kawasan seluas 12 hektar yang dijadikan sebuah taman yang kini dipenuhi dengan hampir 2,600 pokok termasuk tumbuh-tumbuhan hiasan, herba dan hutan.

Keredupan pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan di sini turut memberi perlindungan serta mewujudkan habitat untuk semua jenis spesies fauna bandar, sekali gus melengkapkan peranannya sebagai ‘Khazanah Rimba’.

Diuruskan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, kawasan IWK Eco Park ini sesuai bagi mereka yang gemar suasana kehijauan.

Walaupun taman ini dibina di atas loji kumbahan namun dengan penggunaan teknologi moden, kawasan ini tidak tercemar dengan situasi yang kurang selesa.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, taman ini telah menjadi lokasi pilihan penduduk setempat untuk mengeluarkan peluh dengan berjalan-jalan, berkelah, berjoging atau membawa anak-anak di taman permainan.

Menurut Wan Esuriyanti, bagi mereka yang berminat dengan aktiviti sukan indoor, IWK Eco Park @ Pantai Dalam turut menyediakan kemudahan bersukan seperti gelanggang badminton, pingpong dan tenis.

Pengguna akan dikenakan caj berdasarkan kadar sewaan mengikut jam dan hari.

Kemudahan gelanggang di IWK Eco Park@Pantai Dalam

Sejak dibuka semula kepada orang ramai pada bulan Oktober lalu,Wan Esuriyanti berkata, taman ini turut menawarkan kemudahan mengadakan majlis keraian, karnival, bengkel, mesyuarat, hari keluarga dan pelbagai lagi!

“Bagi anak-anak muda pula, anda boleh mengadakan ‘glam piknik’ di sini dengan kemudahan penyewaan peralatan berkelah yang menarik.

Bagi mereka yang berminat untuk menyewa atau mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi talian 03-22 420 420 atau emel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette