Presiden Malaysia Tourism, Uzaidi Udanis (tengah) bersama Pengarah Bahagian Pembangunan Produk Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar (kanan) dan Pengasas Fish Tales Cup, Kenneth Chen (kiri) ketika melancarkan giomik pelancaran baju Fish Tales Cup selepas selesai sidang media mengenai kemasukan warga China ke Malaysia dari segi sektor pelancongan dan perasmian Program Fish Tales Cup di Hotel Grand Barakah Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penggiat-penggiat industri pelancongan perlu akur dengan keputusan kerajaan yang mahu kemasukan pelancong ke negara ini dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, langkah itu bukan sahaja melibatkan pengambilan suhu badan, sebaliknya turut mengambil kira perkara-perkara lain yang dirasakan perlu.

“SOP sudah sedia ada terutamanya dari segi scanning (imbas suhu), pengambilan vaksin juga kena ada.

“Saya dapat tahu Singapura akan tambah dos vaksin, saya dapat tahu dari wakil kami di Singapura. Apa yang pasti, SOP semua sudah ada,” katanya pada sidang media Persediaan Industri Pelancongan Menerima Pelancong Dari China dan Pelancaran Acara Fish Tale Global Chinese Challenge 2023 di sini hari ini.

Menurut Uzaidi, penggiat industri perlu menyediakan keperluan-keperluan kepada pelancong seperti kewajaran mereka untuk melakukan ujian saringan sebelum masuk ke negara ini meskipun, ketika ini belum ada arahan untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan sama, Uzaidi memberitahu, penggiat industri berkenaan sememang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dalam tempoh dua tahun sebelum ini.

Katanya, apa yang berlaku telahpun mengajar semua penggiat industri tersebut tentang pentingnya menjaga kesihatan dalam hakikat kehidupan yang mana semua orang akan hidup bersama dengan virus itu.

Tambahnya, semua pihak perlu mempunyai tanggungjawab sendiri dan tidak hanya mengharapkan pihak-pihak yang berkenaan untuk memantau perkembangan semasa.

Katanya, penggiat industri perlu memastikan pengambilan pelancong harus mengikut garis panduan yang ditetapkan terutama mereka yang datang dari negara berisiko tinggi.

“Kita kena lihat semula SOP-SOP terutamanya daripada negara-negara yang berisko tinggi. Saya dapat tahu di India kini kes pun agak tinggi, kita tengok jugalah perkembangan dari negara-negara luar

“Kita kena belajarlah bila nak hidup dengan virus ini, kita kena imbangkan virus ni dengan ekonomi. Jadi, itu amat penting. Kita masih lagi belajar dan belajar untuk cari praktis yang terbaik,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga ada membuat pensijilan SOP dengan tujuan agar penggiat industri dapat mematuhi segala yang ditetapkan.

“Kita harus berjaga-jaga bagi elak ia tidak akan berlaku lagi lockdown (Perintah Kawalan Pergerakan) atau apa sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast