Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh.

GEORGE TOWN – Polis mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 kawasan yang sering menjadi tumpuan mat rempit dan samseng jalanan menjalankan kegiatan berlumba haram terutama ketika malam minggu atau cuti umum.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, namun pihaknya tidak hanya menumpukan kawasan tersebut sahaja sebaliknya menjalankan Ops Ambang Tahun Baharu 2023 bermula esok hingga 1 Januari ini di seluruh negeri itu bagi mencegah kegiatan lumba haram dan jenayah.

“Selain di kawasan ‘hotspot’ penugasan operasi turut dijalankan di seluruh negeri  bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, ia melibatkan kekuatan anggota dan pegawai polis Kontinjen Pulau Pinang secara keseluruhan seramai 1,081 orang.

Operasi tersebut akan turut dibantu dengan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain agensi, jadi saya nasihatkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang merancang untuk berlumba supaya lupakan ia kerana kami akan menjalankan operasi bersepadu besar-besaran bermula esok,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya menerusi operasi itu, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderataan terutama motosikal-motosikal yang diubah suai dan sebagainya serta tindakan sitaan kenderaan akan dibuat menurut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemiliknya didapati mengubah suai kenderaan mereka secara haram.

Fisol berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di bengkel-bengkel termasuk beroperasi secara haram yang menjalankan kegiatan mengubah suai motosikal terutama melibatkan mat rempit dan samseng jalanan tanpa kebenaran.

“Sejak Januari hingga semalam, pihaknya telah menahan seramai 108 mat rempit dan samseng jalanan di Pulau Pinang dan puluhan bengkel juga telah diperiksa dengan beberapa yang diambil tindakan kerana terlibat dalam mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya.

Katanya Op Ambang Tahun Baharu 2023 juga memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan operasi tempat parkir haram yang dilakukan di kawasan yang telah dikenal pasti terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan ketenteraman awam terus dijaga.

Menurutnya, polis juga menasihatkan pengunjung yang menetap di rumah inap berdekatan dengan kawasan perumahan agar menjaga kelakuan dan tidak membuat bising hingga boleh mencetuskan perbalahan dan menimbulkan suasana tidak selesa kepada penduduk di situ.

”Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kegiatan samseng jalanan bagi memastikan ambang tahun baharu di Pulau Pinang tidak dikotori dengan kegiatan lumba haram dan mereka yang telah melakukan kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast