Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2022.

KOTA BHARU – Polis menahan tiga lelaki dipercayai cuba menyeludup barang terlarang ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dengan menggunakan dron pada 12 Dis lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan pusat pemulihan akhlak itu pada 1.05 pagi.

“Hasil tindakan segera menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati pengendali dron tersebut berada di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang.

“Ketiga-tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun itu bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri sebelum ditahan berdekatan jalan utama Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sejumlah barangan termasuk lima telefon bimbit, dua unit ‘power bank’, sebilah parang, 20 mercun bola dan sebilah badik.

“Polis turut menjumpai satu alat kawalan jauh dron model rc123, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau,” katanya.

Muhammad Zaki berkata, kesemua barang itu dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Sekyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, kesemua lelaki itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Machang pada 19 Dis lepas di bawah Seksyen 58(1) Akta Penjara 1995, Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957.

“Menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah satu kesalahan dan penggunaannya untuk tujuan jenayah juga satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

“Polis tidak akan berkompromi dengan pelanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast