Seoarang pengawal keselamatan berkawal di bangunan Telekom Malaysia Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) tampil memperjelaskan isu membabitkan ‘penjualan’ Menara Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, keputusan dibuat pada Oktober 2021 untuk tidak memperbaharui konsesi membabitkan menara tersebut kerana perubahan sifat perniagaan Menara KL

Katanya, pihak syarikat telah memaklumkan kepada Kerajaan berkaitan keputusan itu dengan sewajarnya.

Dalam penjelasan, TM berkata, Menara KL dimiliki oleh kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara diberikan di bawah konsesi.

TM melalui anak syarikat milik penuhnya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) telah melaksanakan konsesi sejak 1996.

“Sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, kami menumpukan usaha dan sumber kami untuk mengukuhkan perniagaan teras telekomunikasi dan teknologinya.

“Selepas pertimbangan sewajarnya terhadap perubahan sifat perniagaan MKL, daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti kami telah memutuskan pada Oktober 2021 untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan Kerajaan sewajarnya,” katanya.

Seterusnya pada tahun 2022 proses pemilihan syarikat konsesi baharu kemudiannya dilakukan oleh kerajaan.

TM telah dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik untuk mengambil alih saham MKLSB dan konsesi MKL.

“MKLSB akan terus mengendalikan konsesi dan memastikan kesinambungan operasi MKL untuk orang awam Malaysia, termasuk pelawat antarabangsa.

“Dalam pengumuman kewangan S3 2022 kami kepada Bursa Malaysia, rujukan telah dibuat dalam perubahan berikutnya kepada pegangan saham dalam MKLSB,” katanya.

TM menegaskan, pihaknya mengamalkan tadbir urus yang baik dan ketelusan dalam usaha memelihara kepentingan pelanggan dan pihak berkepentingan.

“Kami akan memberikan kerjasama dan pendedahan penuh kami seperti yang diperlukan oleh pihak berkuasa,” kata TM.

Baru-baru ini, seorang pengguna laman sosial mendedahkan bahawa Menara Kuala Lumpur yang dimiliki Telekom Malaysia Berhad telah ditukarkan hak miliknya kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada 31 Oktober lalu.

Beliau mendakwa Menara Kuala Lumpur sudah menjadi ‘cash cow’ atau perniagaan yang memberikan keuntungan konsisten.

Katanya, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM66 juta, dengan RM25 juta untung bersih.

Menurut semakan dengan sistem Suruhanjaya Syarikat, Hydroshoppe didaftarkan pada 2008 dengan modal keseluruhan RM1 juta. – MalaysiaGazette