SHAH ALAM – Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendakwa pihak pengurusan universiti tersebut tidak melayan bantahan penggabungan fakulti berkenaan dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) yang disuarakan sebelum ini.

Presidennya, Basree Rakijan berkata, pihak universiti gagal memberikan respon meskipun bantahan rasmi telah dikemukakan pada Oktober yang lalu.

“Kami dimaklumkan supaya menunggu keputusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi setiap kali kami tanyakan tentang status.

“Sampai minggu lepas kami masih menunggu tapi masih tidak ada apa-apa,”katanya ketika sidang media.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Tinggi telah mengemukakan cadangan kepada pihak universiti sama ada mahu menukar nama kolej atau melaksanakan penstrukturan semula Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat, tanpa melibatkan FKPM.

Malangnya menurut Basree, pihak universiti tidak memaklumkan cadangan tersebut kepada Alumni FKPM.

“Saya dimaklumkan Jabatan Pendidikan Tinggi Negeri pada 1 November sudah mengutus surat kepada UiTM dan memberi dua cadangan untuk dipertimbangkan.

“Tetapi 7 November kami masih lagi disuruh menunggu jawapan sedangkan mereka sudah tahu awal jawapan. Sebab itu saya rasa pihak UiTM tidak telus dalam berhubungan dengan alumni mengenai perkara ini,” ujarnya.

Tambahnya, semenjak penggabungan dibuat Oktober yang lalu, ada pelajar FKPM yang mendakwa sukar mendapat tempat untuk membuat latihan praktikal.

“Ada  beberapa pelajar yang menghubungi saya mengatakan mereka sukar mendapatkan tempat latihan praktikal kerana nama pengurusan komputer itu,” kata Basree lagi.

Terdahulu dilaporkan, Alumni FKPM membantah penggabungan berkenaan kerana berpendirian entiti baharu yang dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media akan melemahkan pendidikan asas komunikasi.

Dalam pada itu,  Basree menegaskan, alumni fakulti berkenaan tidak dilibatkan dalam proses perbincangan sebelum penggabungan dibuat.

Sementara itu, salah seorang daripada Alumni FKPM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dalam sidang media yang sama menyifatkan  penggabungan FKPM dengan FSKM hanya kosmestik apabila tidak melibatkan penstrukturan kurikulum.

“Penggabungan ini bukan satu langkah terbaik, sebab tidak ada usaha ke arah kajian atau ubah kurikulum.

“Kami tidak ingin kalau setakat tukar nama ia seperti kosmestik. Kalau mahu digabung boleh gabunglah FKPM dengan cabang yang ada kaitan dengan komunikasi,” jelasnya.

Terdahulu Basree memaklumkan alumni fakulti berkenaan bakal mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi pada petang ini.

“Jadi saya berharap pertemuan petang ini akan memberi hasil yang positif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast