individu mahkamah
Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mempersoalkan sama ada pelantikan seseorang individu  berdepan pertuduhan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga bekas perdana menteri merujuk kepada peruntukan di bawah Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ‘jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong’.

Menurutnya, pertuduhan atas satu kesalahan adalah sesuatu yang serius sehingga boleh menyebabkan Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak boleh lagi melaksanakan tugasnya.

Dr. Mahathir berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut sama ada Seri Paduka perlu didapati bersalah terlebih dahulu kerana pendakwaan di mahkamah sudah cukup untuk membolehkan peruntukan itu dikuatkuasakan.

“Sekarang, bagaimana dengan penjawat yang lebih rendah seperti TPM. Dia telah didakwa dengan lebih 40 pertuduhan. Namun, dia dilantik sebagai TPM dan masih memegang jawatan tersebut.

“Adakah jawatan TPM lebih kanan sehingga membolehkan dia menerima layanan yang lebih baik berbanding Yang di-Pertuan Agong?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Walaupun Dr. Mahathir tidak menyebut nama individu berkenaan, beliau dipercayai merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah.

Dr. Mahathir juga berpandangan, reformasi perlu dilakukan berhubung perkara yang dibangkitkannya itu.

“Baiklah. Saya akan menjaga cucu saya sekarang. Abaikan sahaja perkara ini,” katanya sinis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apakah jawatan menteri kewangan Lim Guan Eng lebih kanan dari jawatan TPM dan DYMM Agong? Bodoh punya org tua

Comments are closed.