Sharifah Norain Mohd Zali didenda RM12,000 oleh Mahkamah Seksyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan cuba mencampakkan anaknya berusia setahun ke dalam longkang tahun lalu.

MELAKA – Seorang ibu anak enam didenda RM12,000 oleh Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan cuba mencampak anaknya berusia setahun ke dalam longkang tahun lalu.

Tertuduh, Sharifah Norain Mohd Zali, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail selepas dua pertuduhan pindaan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang yang mempunyai hak pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan telah menyebabkan mangsa mungkin mengalami kecederaan fizikal apabila cuba mencampakkannya ke dalam longkang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didapati telah mendedahkan mangsa kepada kecederaan dengan cara memegang kanak-kanak itu semasa melompat dari motosikal ke atas jalan raya bersama-samanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.40 hingga 9.40 malam di Jalan Pandan, Taman Pandan Maju dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Sebagai tambahan, hukuman jika disabitkan hendaklah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dengan apa-apa syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pergaduhan antara tertuduh dan ibu saudaranya sebelum menerima panggilan daripada sepupu tertuduh yang memaklumkan ternampak tertuduh di Jambatan Panglima Awang cuba membaling anaknya berusia lingkungan satu tahun itu ke dalam sungai.

Ibu saudara tertuduh kemudian segera menghubungi polis yang menghantar pasukannya untuk memberikan bantuan namun tertuduh telah melarikan diri ke Jalan Pandan sekitar pukul 9 malam.

Ketika didekati polis, tertuduh menjerit ‘korang jangan dekat, kalau korang dekat aku campak budak ni ke dalam longkang’ sambil tangannya menggantung anaknya dan cuba melepaskannya ke dalam longkang.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Goh Chin Han merayu hukuman ringan kerana pada waktu kejadian tertuduh yang perlu menjaga enam anak mengalami kemurungan kerana tidak mendapat sebarang pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anak guamnya juga telah insaf sejak ditangkap dan berada dalam penjara selama tujuh bulan dari tarikh ditahan dan selepas keluar telah memulakan kehidupan baharu dengan bekerja sebagai pembantu pasar.

Tertuduh juga sedia menerima hukuman syarat tambahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun berkata, tertuduh tidak sepatutnya mengambil jalan mudah menjadikan kemurungan sebagai alasan kerana mempunyai pengalaman menjaga lima anaknya yang lain.

Apa lagi mangsa ketika itu baru berusia kurang dua tahun.

Beliau meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd Sabri menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau tiga tahun penjara jika gagal membayarnya.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan bon berkelakuan baik sebanyak RM5,000 tanpa cagaran selama dua tahun. – MalaysiaGazette.