Foto Instagram Shila Amzah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Shila Amzah mengaku single baharunya, Jauh Hati dicipta berdasarkan kisah hidupnya termasuk suka dan duka sewaktu berumah tangga dan bergelar ibu tunggal.

Shila, 32, atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah berkata, idea menghasilkan lagu tersebut datang secara semula jadi.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang dalam suatu perhubungan yang cuba untuk mempertahankannya sedaya upaya. Dia berada dalam dilema sama ada perlu kekal setia dalam perhubungan tersebut sedangkan dirinya berasa seperti tidak dihargai.

“Akhirnya, dia ambil keputusan untuk membawa diri. Dia pun jauh hati lantas terus meninggalkan perhubungan itu. Kalau diamati dari segi lirik lagu ini, saya tidak menafikan ia menceritakan mengenai kisah hidup saya.

“Walaupun saya sudah tulis lagu ini agak lama iaitu pada 11 November tahun lalu tapi ia tak susah untuk dihasilkan. Sejujurnya, bila saya menghasilkan lagu seperti ini, idea tu datang secara semula jadi,” katanya.

Menurut Shila, cabaran terbesar ketika merakamkan lagu Jauh Hati ialah menahan diri daripada tidak menangis.

“Namun saya bertuah kerana ketika rakaman saya dikelilingi kawan baik iaitu Amylea Azizan. Dia ada di studio untuk menjaga vokal saya dan yang lebih istimewa lagi dia juga bertindak sebagai pengarah muzik video Jauh Hati.

“Walaupun lagu ini ditulis sepenuhnya oleh saya, semangat persahabatan kami masih kekal utuh. Alhamdulillah, untuk lagu sendiri ini, cabaran itu diselangi dengan kesenangan apatah lagi dengan adanya strong support system,” katanya.

Pada masa sama, Shila mengakui sepanjang tahun ini banyak momen indah dilalui membabitkan kerjaya seninya.

Selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi lagu Pelukan Angkasa, kolaborasi Shila bersama kumpulan SOG, nama Shila Amzah kembali mekar.

Malah menerusi program The Masked Singer Malaysia musim kedua Shila dinobatkan sebagai juara dan ini membuktikan semangat juang anak kepada penyanyi legenda, ND Lala ini tidak pernah luntur.

Sekali lagi, Shila, tidak mensia-siakan peluang ketika menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Biar pun sekadar menduduki tempat ketiga, ia sudah cukup untuk meyakinkan peminat bahawa dirinya adalah seorang penyanyi yang hebat dan versatil.

Sementara itu, single Jauh Hati terbitan Nova Music kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Joox.

Video muzik rasmi Jauh Hati juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast