Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Janji kerajaan untuk mengkaji semula pengendalian kes melibatkan penganiayaan terhadap Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) disifatkan sebagai langkah terpuji Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, janji itu mungkin dapat memulihkan semula hubungan baik Malaysia dan Indonesia yang terjejas akibat kes kematian Adelina Lisao pada Jun 2018.

Kata beliau, kematian pembantu rumah Indonesia itu dianggap sebagai tidak adil oleh republik berkenaan apabila mahkamah membebaskan bekas majikannya daripada tuduhan mendera.

“Kes ini telah menjejaskan hubungan Malaysia dengan Indonesia. Kewibawaan sistem keadilan negara turut terjejas sama kerana tidak ada mana-mana pihak yang dihukum mengenai kematian ini.

“Kerajaan-kerajaan Malaysia sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memejam mata dan memekakkan telinga terhadap isu Adelina Lisao,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, Retno Marsudi selepas mesyuarat dua hala di Jakarta semalam, Zambry memberi jaminan Malaysia akan mengkaji semula pengendalian kes membabitkan penganiayaan PDI supaya keadilan dapat ditegakkan berlandaskan peruntukan perundangan sedia ada.

Beliau amat memahami keprihatinan pemerintah Indonesia terhadap kebajikan dan kesejahteraan PDI di Malaysia.

Menteri Luar itu turut melahirkan penghargaan Malaysia ke atas sumbangan tenaga kerja Indonesia dan PDI kepada pembangunan sosio-ekonomi negara serta kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Menurut Shahrir, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini hanya berjanji untuk menyiasat tetapi tidak ada berbuat apa-apa.

“Ini samalah dengan pengendalian kes kematian petugas bomba arwah Muhammad Adib Kassim ketika rusuhan di kuil Ladang Seafield pada November 2018 lalu.

“Oleh itu, kepada pihak penggendali keadilan negara sama ada dari mahkamah mahu pun pendakwa raya perlulah bermuhasabah diri masing-masing.

“Apa pun, tahniah kepada Dr. Zambry kerana tidak berada dalam penafian kepada sesuatu yang hakikat,” katanya. – MalaysiaGazette