Larry Sng

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng akan menjelajah ke seluruh negara sepanjang Januari ini untuk bertemu dan menjelaskan kepada kepimpinan negeri mengenai hala tuju parti itu.

Katanya, dalam jelajah itu beliau akan membuat pelantikan jawatan pengerusi perhubungan yang baharu di negeri.

“Antara penerangan yang akan saya jelaskan nanti selain hala tuju parti pada masa hadapan, saya juga akan memberitahu mereka yang PBM menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Ini bermakna kita menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejajar dengan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Mereka adalah sekutu baharu kami dan kedudukan kerajaan adalah hala tuju parti kami,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Larry, PBM adalah sebuah parti berasaskan kebangsaan dengan akar yang kuat di Sarawak dan Sabah.

Oleh itu, kata beliau, tumpuan akan diberikan ke arah membangunkan Malaysia Timur, selain mengetengahkan isu dasar di semenanjung.

Pada masa ini, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN iaitu dua di Selangor dan satu di Sabah.

“Kita akan pertahankan dan bekerjasama dengan sekutu kita dalam menjalin pakatan pilihan raya termasuk menyertai gabungan. Perbincangan ke arah itu sedang berjalan.

“Kemungkinan besar juga selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, PBM akan menguatkuasakan larangan kepada semua ahli daripada menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Mereka yang telah menyertainya akan digantung keahlian parti. Ini adalah permulaan yang baru,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PBM memerlukan pemimpin yang bersih, berpengalaman dan ikhlas dalam membawa perubahan positif kepada landskap politik negara.

Katanya, beliau tidak akan menerima pemimpin kontroversi dari parti lain yang mahu penyertai PBM. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.