Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prestasi baik industri sawit negara dijangka berterusan hingga tahun depan.

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam berkata, stok minyak sawit diunjurkan sebanyak dua juta tan pada 2023.

Ia lebih tinggi dari 2022 berikutan jangkaan bekalan minyak sayuran utama lain termasuk minyak sawit yang lebih tinggi.

Katanya, permintaan yang lebih kukuh merupakan antara faktor yang dilihat menyumbang kepada prestasi industri berkenaan.

Jelas beliau, konflik Rusia-Ukraine yang berterusan memberi impak rantaian bekalan minyak bunga matahari di seluruh dunia sekaligus melonjakkan permintaan minyak sawit sebagai pengganti minyak bunga matahari.

Katanya lagi, kenaikan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent di pasaran dunia turut menyumbang kepada prestasi minyak sawit.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada RM5,100 satu tan untuk tahun ini, 15.7 peratus lebih tinggi berbanding RM4,407.00 satu tan pada 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, harga purata MSM bagi Januari sehingga November 2022 adalah sebanyak RM5,167 satu tan.

Jumlah itu meningkat 18.4 peratus berbanding RM4,363 satu tan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut Ahmad Parveez , harga MSM mengalami penurunan mulai suku ketiga tahun ini berikutan musim pengeluaran MSM yang tinggi, peningkatan stok minyak sawit dan penurunan harga minyak kacang soya.

“Justeru, kami menjangkakan harga MSM akan stabil pada purata RM3,800 satu tan pada 2023. Ini berdasarkan jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik terutamanya pada separuh kedua tahun depan dan ketersediaan bekalan minyak sayuran utama yang lain yang dijangka lebih tinggi.

“Sementara itu, harga minyak kacang soya yang dijangka rendah berikutan pengeluaran tinggi di Brazil dan Amerika Syarikat juga dijangka memberi impak kepada harga MSM. Selain itu, pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar AS juga dijangka menjejaskan harga MSM,” tambahnya.

Ujar Ahmad Parveez, ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik pada 30 September yang lalu juga bakal menggalakkan permintaan produk minyak sawit kerana ia meluaskan lagi aksesnya kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru.

Beliau berkata, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain bagi Januari hingga November 2022 meningkat 1.3 peratus kepada 22.43 juta tan berbanding 22.14 juta tan dalam tempoh yang sama 2021.

Katanya lagi, pengeluaran MSM dijangka meningkat sedikit sebanyak 2.1 peratus kepada 18.50 juta tan bagi tahun ini berbanding 18.12 juta tan tahun lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast