Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Setiap tahun baru akan selalunya membawa bersama cabaran baharu.

Justeru negeri Pahang akan menghadapi segala cabaran tahun 2023 sikap dan tindakan dan sikap positif, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, sasaran menjelang 2023 ini, beliau akan terus mencuba sedaya upaya meletakkan Pahang pada kedudukan yang lebih baik.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai terlalu banyak sasaran melainkan untuk terus mencuba sedaya upaya meletakkan Pahang pada kedudukan yang lebih baik.

“Pahang harus makmur ekonominya, harus makmur hidup masyarakatnya, harus makmur serba-serbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berharap semoga segala ikhtiar awal bagi menyediakan payung sebelum hujan dengan merangka pelbagai perancangan pembangunan serta bantuan dan inisiatif yang telah disusun akan membantu Pahang mendepani 2023 dengan penuh bersedia.

“Saya menyeru kepada semua untuk menjadikan tahun 2023 sebagai tahun kita memberikan yang terbaik kepada negeri ini. Kita tolak segala cubaan yang boleh membawa kekeruhan. Baik dari segi ancaman perpaduan mahupun pecahan politik. Semua itu hanya merugikan.

“Doa saya, semoga Allah SWT memimpin kita dan melimpahkan Pahang dengan segala keberkatan dan kebaikan, insyaAllah,” katanya lagi.

Meskipun melalui tempoh 365 hari yang lalu bukan satu tempoh yang mudah namun rakyat di negeri ini berjaya mengharungi  cabaran pasca Covid-19, bencana yang menimpa dan tidak kurang pelbagai ujian yang mematangkan sebagai sebuah masyarakat.

Malah katanya tahun 2022 turut menyaksikan satu proses peralihan kuasa dan kerajaan yang tidak sunyi dari polemik dan kontroversi telah ditempuhi dan diharungi semua.

“Jika diimbas, saya sejujurnya berasa amat sukacita kerana banyak yang telah berjaya dicapai oleh negeri kita. Apa yang boleh saya ungkapkan, syukur alhamdulillah.

“Pahang merekodkan hasil negeri tertinggi iaitu melebihi 1 bilion. Pahang berjaya merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM20.5 bilion dan Pahang berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga berbaki hanya RM900 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast