Khalid Abdul Samad.- foto IQBAL BASRI, 16 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menggesa Perdana Menteri supaya campur tangan terhadap isu pengambilan tanah penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Bharu.

Beliau berkata, isu berkaitan telah bermula pada tahun 2016 iaitu ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Ghani seolah-olah terdesak apabila menyalahkan Pakatan Harapan yang mentadbir negara pada 2019 berhubung isu tersebut.

“Semasa saya Menteri Wilayah, pemaju berunding dengan pemilik atas dasar willing buyer, willing seller. Itu hak mereka sama ada nak jual atau tidak, kerajaan tidak campur tangan.

“Tetapi bila ada yang tak setuju jual kerajaan PN/BN rampas melalui akta. Kenapa? Johari sokong pemaju? Memang mudah bila cakap seorang. Boleh goreng sepuasnya.

“Tapi bila diajak berdebat Johari tolak. Kenapa? Mungkin takut terdedah kepura-puraannya. Saya yakin ramai sanggup menganjurkan debat ini. Biar live sehingga kebenaran terserlah. RTM? Saya gesa PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hentikan kezaliman ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid mengulas ciapan Johari di Twitter yang memaklumkan isu flat Kampung Sungai Baru berpunca daripada ketiadaan koordinasi yang baik antara pemaju, wakil rakyat dan Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2019.

Khalid seterusnya berkata, Johari sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa berkewajipan untuk membela nasib penduduk Kampung Sungai Baru dan Sri Perlis 2.

Bagaimanapun secara sinis beliau yakin Johari hanya akan menyebelahi pemaju, Ritzy Gloss.

“Usaha terdesak salahkan orang lain berhubung Kampung Sungai Baru. Hakikatnya ianya dimulakan pada 2016 dan ianya usaha pihak swasta, tiada kena mengena dengan kerajaan.

“Pihak kerajaan tidak terlibat dengan perjanjian tersebut. Tiba-tiba kerajaan PN/BN guna akta pengambilan tanah bela pemaju!

“Sememangnya pemilik dipaksa Kerajaan PN/BN untuk menjual kepada pemaju dgn harga sangat rendah. Bukan flat sahaja terlibat. Rumah teres juga,” kata Khalid.

Khalid berkata, beliau telah membawa isu itu ke Parlimen dan mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menjawab secara sambil lewa.

Beliau mendakwa, Pakej Harmoni yang ditawarkan kepada penduduk oleh menteri tersebut hanya satu pembohongan.- MalaysiaGazette