KOTA BHARU – Kelantan United FC (KUFC) akan menggunakan jurulatih import, dengan mendapatkan khidmat bekas jurulatih pasukan Penang FC Tomas Trucha bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Presidennya Rozi Muhamad berkata Trucha akan menggantikan Ketua Jurulatih sebelum ini iaitu Syamsul Saad yang ditamatkan kontrak bersama pasukan itu.
“Beliau (Trucha) mempunyai pengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kerana telah bersama pasukan Penang FC selama dua musim mulai 2021 hingga 2022.
“Musim lalu beliau membantu Penang FC menduduki tempat ketiga saingan Liga Super selain berpengalaman sebagai jurulatih untuk kelab luar negara seperti Republic Czech, Bostwana dan Kenya,” katanya kepada pemberita pada Majlis KUFC bersama penaja di sini.
Pada aksi saingan Liga Premier musim ini, KUFC berada di kedudukan kelima sekali gus melayakkan diri untuk beraksi pada cabaran Liga Super musim depan.
Mengulas lanjut, Rozi berkata pihak pengurusan Kelantan United FC sangat yakin dengan kemampuan jurulatih berusia 51 tahun itu kerana taktikal permainan berkualiti yang dijangka dapat dipamerkan olehnya kepada pasukan nanti.- BERNAMA