Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu serius menangani isu murid daif dan keciciran di negara ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, isu ini sudah berlaku sejak tahun 1970-an dan KPM perlu memastikan perkara itu diselesaikan.

“Selepas 30-40 tahun isu daif, peralatan tidak cukup, keciciran murid masih berlaku. Saya pernah cadangkan kepada KPM agar ditubuhkan satu unit khas bagi menyelesaikan perkara ini.

“Unit ini bukan hanya memantau tetapi lebih kepada penyelesaian dan perlu diletakkan garis masa dan petunjuk prestasi utama (KPI) agar ia benar-benar dapat dilaksanakan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk ‘Pendidikan Tahun 2022, Menjadi Ke Tidak?’ Anuar menegaskan,  perkara berkenaan perlu diberi penekanan sewajarnya.

“Saya tidak kata ia perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat tetapi mungkin dalam tempoh lima tahun ini ada Langkah yang boleh diambil.

“Dengan itu, masyarakat akan nampak kesungguh KPM bersandarkan kesungguhan untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Isu keciciran murid dan daif menjadi subjek utama apabila berbicara mengenai pendidikan di negara ini dan KPM menghadapi cabaran besar apabila setiap kali bertukar menteri.

“Dasar tidak boleh diubah selalu. Kasihan kepada guru-guru yang akan terbeban setiap kali perubahan berlaku termasuk silibus yang bertukar-tukar.

“Sebaik-baiknya adalah dasar yang ada ditambah baik,” katanya lagi.

Anuar berkata, KPM perlu tampil dengan strategi untuk memastikan isu-isu pokok ini tidak lagi diperkatakan setiap tahjun.

“Bila bercakap mengenai murid daif ini, kita dapat juga dengar bagaimana isu lain terkait antaranya kesesakan dalam kelas hingga satu kelas ada 45 murid.

“Ada juga masalah lain, murid lapan orang sahaja, guru-guru pula ramai.

“KPM kena ada unit yang pantau perkara-perkara ini. Menteri beri kuasa kepada mereka untuk selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pemilihan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan juga dilihat menampakkan ada banyak perkara dalam diselesaikan.

“Beliau tegas tidak akan membuat dasar baharu sebaliknya menambah baik dasar sedia ada tetapi tujuh teras utama yang beliau mahu bawa memberi bayangan KPM sekarang akan lebih baik.

“Tujuh teras utama itu adalah sistem penyampaian yang mesti efektif dengan memastikan beban guru dapat dikurangkan selain itu, adalah mempopularkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast