Gerai roti canai Jalan Transfer di Pulau Pinang beroperasi seperti biasa hari ini meskipun semalam tular video dakwaan guna telur ayam yang tidak dicuci.

GEORGE TOWN – “Kami minta maaf, memang salah pekerja saya tapi semua telur ayam itu telah dibasuh sebelum digunakan,”.

Demikian jelas pemilik gerai roti canai Jalan Transfer, Shahjahan Abdul Hamid, 50, ketika diminta mengulas mengenai video tular menunjukkan pekerjanya didakwa menggunakan telur ayam tidak dicuci selain menebar roti canai selepas mengambil telur tersebut.

Menurut Shahjahan, dua pekerjanya tidak hadir semalam menyebabkan keadaan di premis berkenaan kelam kabut sekali gus membuatkan ada pekerjanya yang lain bertindak sedemikian.

Shahjahan.

“Video tersebut dipercayai dirakam oleh pelanggan yang sedang menunggu pesanannya semalam.

“Kami minta maaf, memang salah pekerja saya tambahan pula musim cuti sekolah ramai pelanggan membuatkan pekerja saya membuat kerja dalam keadaan tergesa-gesa.

“Memang kami cuci semua telur ayam tersbeut sebelum digunakan namun mungkin keadaan semalam pekerja saya membuangnya begitu dalam bakul disediakan membuatkan keadaan kelihatan seolah-olah ia tidak dibersihkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dalam agama Islam, telur perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan kerana bimbang najis masih terdapat di kulitnya.

Salah seorang pekerja gerai roti canai sedang membasuh telur ayam untuk kegunaan mereka.

Mengulas lanjut, Shahjahan berkata, pelanggan ke premisnya hari ini kekal dalam kuantiti sama selain tiada yang hadir bagi meminta penjelasan berhubung video tular itu.

“Saya sedar akan video tular itu malam tadi dan alhamdulillah pelanggan masih kekal ramai hari ini,” jelasnya.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 53 saat menunjukkan seorang pekerja gerai roti canainya didakwa mengambil telur ayam yang tidak dicuci dan meletakkannya di dalam satu bakul berhampiran tempat menebar roti.

Menerusi video itu, lelaki berkenaan juga dilihat tidak menyusun telur dengan baik  sehingga menyebabkan ia pecah sebelum meneruskan menebar roti untuk pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast