GEORGE TOWN – Gerai roti canai Jalan Transfer yang tular susulan gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan termasuk menggunakan telur masih mempunyai kesan tahi ayam diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini.
Notis penutupan itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut di sini, selepas melakukan pemeriksaan di gerai tersebut pada jam 11 pagi tadi.
MalaysiaGazette difahamkan penutupan berkuatkuasa sehingga 16 Januari itu dilakukan susulan tahap kebersihan gerai berkenaan tidak memuaskan.
Penutupan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi membolehkan pengusaha pemilik gerai melakukan kerja-kerja pembersihan.
Selain itu, satu kompaun berjumlah RM500 turut dikeluarkan susulan pemilik gagal menghantar pekerja premis memasuki kursus pengendalian makanan.
MalaysiaGazette difahamkan pemeriksaan itu dilakukan susulan tular satu rakaman video berdurasi 53 saat menunjukkan pekerja gerai meletakkan telur yang akan digunakan bagi penyediaan perniagaan mereka ke dalam bakul secara kasar hingga menyebabkan beberapa telur pecah namun tidak dipedulikan sebelum sambung menebar roti.
Sementara itu, pemilik gerai terbabit, Shahjahan Abdul Hamid berkata, dia akur dengan arahan berkenaan dan memohon maaf kepada pelanggan.
“Tempoh yang diberi itu akan digunakan sebaiknya bagi membersihkan gerai ini,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette
Tular video dakwa tak cuci telur, pemilik gerai roti canai mohon maaf