Gelagat pengunjung yang hadir membeli barang keperluan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Raya St Rosyam Mart , Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

CAMERON HIGHLANDS – Hasil tuaian sayur-sayuran yang terjejas kerana musim hujan sebelum ini dijangka meningkat semula susulan cuaca yang cerah kebelakangan ini.

Sinchew Daily melaporkan, sinaran matahari yang mencukupi di Cameron Highlands telah membantu pertumbuhan sayur-sayuran dan jika keadaan cuaca itu berterusan selama tiga minggu, maka bekalan sayur di pasaran akan kembali kepada normal.

Keadaan cuaca yang baik juga memastikan kestabilan bekalan sayur dan harga sayur semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

Akhbar itu melaporkan harga tomato yang mahal pada masa ini adalah bersifat sementara dan berbekalkan cuaca yang baik, harga pelbagai sayur dijangka akan menurun selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Timbalan Presiden Persatuan Pertanian Cameron Highlands, Zhong Nan Feng berkata, cuaca sejuk berterusan pada 13 darjah Celsius di sesetengah tempat di Cameron Highlands sebelum ini telah menjejaskan hasil tuaian.

Beliau berkata, cuaca sejuk bertambah dengan hujan yang berlebihan dan kekurangan sinaran matahari menyebabkan tomato yang ditanam sukar untuk masak, seperti disimpan dalam peti sejuk.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan harga tomato meningkat  berganda semasa perayaan Krismas.

Ujarnya, daun sup dan daun bawang juga mengalami kenaikan harga secara mendadak antara 150 hingga 200 peratus kerana faktor hujan. – MalaysiaGazette